Dua (2) Projek Naiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) untuk keselesaan dan keselamatan Pengguna
Kementerian Kerja Raya mengambil berat terhadap isu keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di Lebuhraya Pasir Gudang (FT17) yang telah mendapat perhatian baru-baru ini. Menteri Kerja Raya, YB. Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah meninjau sendiri perkembangan kerja naiktaraf dan penyelenggaraan jalan tersebut.
Terdapat dua (2) projek menaik taraf di laluan Lebuhraya Pasir Gudang yang telah diluluskan di bawah pelaksanaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia secara berfasa iaitu menaiktaraf laluan daripada empat (4) lorong kepada enam (6) lorong bagi Fasa 2B dan Fasa 3.
Fasa 2B dari Persimpangan Bandar Seri Alam / Taman Rinting ke Persimpangan Pasir Gudang berada di dalam peringkat pembinaan, projek yang dilaksanakan secara Reka dan Bina dijangka siap pada Oktober 2025. Manakala bagi Fasa 3, iaitu dari Persimpangan Bertingkat Perling hingga ke susur naik Lebuhraya Utara Selatan pula telah diluluskan di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3, RMKe-12) dan kini berada di peringkat perancangan bagi pengesahan skop dan kos projek, dijangka akan dilaksanakan pada Ogos 2023.
Kerja-kerja menaik taraf laluan FT17 bagi kedua-dua Fasa 2B dan Fasa 3 ini akan melibatkan pelebaran jalan sepanjang 12.5 kilometer termasuk membaik pulih dan menaik taraf struktur flyover, jambatan dan jejantas sedia ada. Projek ini juga merupakan kesinambungan daripada projek menaik taraf Fasa 1 yang telah siap pada 2016 dan Fasa 2A yang siap pada 2018.
Pelaksanaan projek menaiktaraf FT17 secara keseluruhan akan membantu penyuraian trafik terutama pada waktu puncak, di samping memberi manfaat kepada pengguna jalan raya yang berulang-alik ke kawasan perindustrian, pusat pentadbiran Kota Iskandar serta penduduk di taman-taman perumahan di sepanjang laluan tersebut.
Selain itu, kerja-kerja penyenggaraan jalan yang merangkumi skop kerja penyenggaraan rutin serta pembaikan berkala pavemen dan jambatan turut dilaksanakan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya. Kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM107.34 juta untuk kerja-kerja penyenggaraan jalan bagi keseluruhan laluan persekutuan di Negeri Johor bagi tahun 2023 dan kira-kira RM5.24juta daripadanya adalah khusus untuk kerja-kerja senggaraan di laluan FT17.