IPD Iskandar Puteri Siap Sedia Berkhidmat

Pin It

2021 11 29 Penyerahan Projek IPD Iskandar Puteri

Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri akhirnya siap sedia untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat dan membenteras jenayah setempat khususnya untuk sekitar bandar Iskandar Puteri. Projek Pembinaan Bangunan IPD Iskandar Puteri yang terletak di Kota Iskandar yang menelan belanja keseluruhan hampir RM100 juta siap sepenuhnya dan telah berjaya diserahkan kepada pihak pelanggan pada Isnin, 29 November 2021.

IPD Iskandar Puteri yang meliputi kawasan seliaan dan pemantauan Gelang Patah, Kangkar Pulai, Ulu Choh, Bukit Indah, Mutiara dan Tanjung sebelum ini ditempatkan di bangunan pejabat sementara di Taman Nusa Bestari, Skudai, Johor. Terbinanya bangunan pejabat ini, akan memberi keselesaan dan kemudahan secara keseluruhan bagi urusan pentadbiran polis khususnya di IPD Iskandar Puteri sekaligus akan terus memberikan perkhidmatan berterusan untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Projek pembinaan bangunan Ibu pejabat Polis (IPD) Iskandar Puteri sebelum ini terhenti selepas penamatan kontraktor terdahulu yang gagal menyiapkan dalam tempoh yang ditetapkan. Kemajuan kerja sebelum ditamatkan kontrak adalah sekitar 95.85% sebelum tawaran semula telah dibuat dan melantik kontraktor baharu, Syarikat Tangawaris Sdn. Bhd untuk bertanggungjawab menyempurnakan kerja-kerja yang terbengkalai.

Baki projek pembinaan membabitkan kos hampir RM10.7 juta iaitu skop kerja yang ditinggalkan daripada kontrak terdahulu selain skop-skop tambahan yang ditambah oleh pihak pelanggan. Skop keseluruhan projek ini adalah melibatkan Bangunan pejabat 3 tingkat, Pejabat Trafik, Lokap tahanan, stor penyimpanan, dewan serbaguna dan Kuarters Kelas F (12 Tingkat), Kuarters Kelas C, D, dan E serta blok sokongan IPD.

Projek penyiapan baki kerja ini mula masuk tapak pada 21 Disember 2020 dan dijangka siap pada 6 Januari 2022 selepas menerima lanjutan masa. Namun dengan kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh pihak kontraktor, projek ini telah siap lebih awal iaitu pada 7 November 2021.

Majlis Penyerahan Projek dan simbolik Penyerahan kunci telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, YBhg. Dato' Ir. Haji Mohamad Zulkefly Bin Sulaiman kepada YB. Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin mewakili Kementerian Dalam Negeri sebelum diserahkan Ketua Polis Negara, YDH IG Tan Sri Acryl Sani bin Haji Abdullah Sani bagi pihak jabatan pelanggan. Hadir sama YB. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan & Infrastruktur Negeri Johor, Tuan Haji Mohd Solihan Badri; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Datuk Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz; dan Timbalan Ketua Polis Johor, YDH DSP Dato’ Khaw Kok Chin.

Menteri Dalam Negeri dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya Jabatan Kerja Raya Johor melalui Pasukan Projek Persekutuan Negeri Johor (PPPNJ), Pasukan perunding, Pasukan Projek Elektrik dan Mekanikal, dan Syarikat Tangawaris Sdn. Bhd. selaku kontraktor penyiap. Juga ucapan tahniah diberikan kepada KDN, pihak Polis Johor dan PDRM serta IPD Iskandar Puteri atas kerjasama sepenuhnya sehingga penyiapan projek.

Skop Projek:

  1. Bangunan Blok Pentadbiran 3 Tingkat
  2. Bangunan 12 Tingkat Kuarters Kelas F (95 Unit),
  3. Kuartas Kelas C (1 Unit), Kelas D (2 Unit ), Kelas E (4 Unit)
  4. Dewan Serbaguna
  5. Stor Penyimpanan
  6. Bengkel Pembaikan Kenderaan
  7. Surau
  8. Kantin

Nama Projek: Pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri

  • Kaedah Perolehan: Tender Terbuka
  • Kaedah Pelaksanaan: Konvensial (Perunding)
  • Agensi Pemilik: Polis Di Raja Malaysia (PDRM)
  • Agensi Pelaksana: Jabatan Kerja Raya (JKR)
  • Tarikh Milik Tapak (Awal): 20 November 2014
  • Tarikh Siap Asal: 16 November 2016
  • Tarikh Siap Semasa (sebelum penamatan kontrak): 5 Februari 2019 (Lanjutan masa ke6)
  • Tarikh Penamatan Kontrak: 13 Disember 2019.
  • Kemajuan Kerja semasa penamatan: 95.85%
  • Kos Kontrak Asal: RM92.09 Juta

Penyiapan Baki Kerja Projek Pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri

  • Tarikh Milik Tapak: 21 Disember 2020
  • Tarikh Siap Asal: 7 November 2021
  • Tarikh Siap Semasa (Lanjutan masa 1): 6 Januari 2022
  • Tarikh Siap Sebenar: 7 November 2021.
  • Kos Kontrak: RM10.7 Juta
  • Kontraktor Penyiap: Tangawaris Sdn. Bhd.

Cetak Emel