Johor Bahru, 5-7 Mac 2023 – JKR Johor telah mengadakan Bengkel Halatuju JKR Johor bersama Amanat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor yang berprestij di Lotus Desaru Beach Resort. Program ini bertujuan untuk menetapkan arah tuju JKR Johor pada tahun 2024 berdasarkan amanat yang disampaikan oleh Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohammad Salleh, YB Exco Kerja Raya.

Dalam ucapan penutup, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Komunikasi Negeri Johor, YB Exco Kerja Raya, memberikan amanat yang memberangsangkan kepada semua peserta. Beliau menekankan pentingnya panduan dan Key Performance Indicators (KPI) yang ditetapkan dalam bengkel ini sebagai landasan kejayaan JKR Johor pada tahun-tahun mendatang.

Program bengkel juga ini tidak hanya memfokuskan kepada aspek strategik semata-mata, tetapi juga mementingkan pengukuhan hubungan silaturahim di kalangan ketua-ketua bahagian JKR Johor. Aktiviti-aktiviti yang telah diadakan termasuk telematch yang mencabar serta treasure hunt yang menarik, memberi peluang kepada peserta untuk mengeratkan ikatan dan memupuk kerjasama yang erat.

Malam puncak bengkel ini dimeriahkan dengan acara makan malam bertemakan Hawaii yang unik. Antara acara menarik yang berlangsung semasa makan malam adalah pertandingan BBQ yang di mana ketua-ketua bahagian turut aktif bersama dalam persediaan hidangan yang mengujakan.

Semua ketua bahagian telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menyokong dan melibatkan diri sepenuhnya dalam setiap acara bengkel. Sebagai penghargaan kepada pencapaian mereka sepanjang tahun 2023, setiap ketua bahagian menerima sijil penghargaan yang diberikan secara khusus dalam majlis penutup bengkel ini.

Bengkel Halatuju JKR Johor Bersama 2023 bukan sahaja membentuk halatuju yang jelas untuk JKR Johor, tetapi juga mengukuhkan lagi semangat kesukarelawan dan komitmen untuk kejayaan organisasi. Program ini berjaya memberi impak yang positif kepada semua peserta dan diharapkan akan meneruskan kejayaannya pada masa akan datang.