LAWATAN RASMI YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE IBU PEJABAT JKR JOHOR
Johor Bahru, 15 Jun 2026 – Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor telah menerima lawatan rasmi daripada YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya ke Ibu Pejabat JKR Johor.
Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) dan JKR Negeri Johor di samping meninjau perkembangan pelaksanaan projek serta inisiatif transformasi yang dilaksanakan oleh jabatan dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Dalam sesi amanat dan perkongsian bersama warga JKR Johor, YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan telah menekankan kepentingan penggunaan Modular Precast System (MPS) sebagai salah satu pendekatan pembinaan moden yang memanfaatkan teknologi terkini. Beliau menjelaskan bahawa penggunaan sistem ini mampu mempercepatkan tempoh pembinaan, meningkatkan kualiti hasil kerja, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja di tapak serta menyokong agenda transformasi industri pembinaan negara ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing.
Selain itu, beliau turut berkongsi prinsip kepimpinan dan pengurusan yang diamalkan menerusi konsep 5T, iaitu:
- Turun Padang – Mendekati pelaksanaan kerja di lapangan bagi memahami keperluan dan cabaran sebenar.
- Teknologi Terkini – Menggalakkan penggunaan inovasi dan teknologi moden dalam meningkatkan produktiviti serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan.
- Time Management – Mengutamakan pengurusan masa yang efisien bagi memastikan setiap tugasan dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan.
- Teamwork – Memperkukuhkan semangat kerja berpasukan dalam mencapai matlamat organisasi.
- Terbaik Segalanya – Membudayakan kecemerlangan dan komitmen dalam setiap aspek pelaksanaan tugas.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan sesebuah organisasi bukan sahaja bergantung kepada sistem dan teknologi, malah perlu disokong oleh nilai-nilai murni dalam perkhidmatan. Sehubungan itu, warga kerja disaran untuk menghayati konsep ABCDE, iaitu:
- Akrab – Membina hubungan kerja yang harmoni dan saling menghormati.
- Bijaksana – Membuat keputusan yang tepat dan berintegriti.
- Cekap – Melaksanakan tugasan dengan pantas, tepat dan berkualiti.
- Dedikasi – Menunjukkan komitmen tinggi terhadap amanah dan tanggungjawab.
- Etika – Memelihara profesionalisme serta nilai-nilai murni dalam perkhidmatan awam.
Lawatan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan JKR Negeri Johor dalam memperkukuh budaya kerja cemerlang, memperluaskan penggunaan teknologi moden serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negeri.
Semoga JKR Negeri Johor terus melakar kecemerlangan dan menjadi peneraju pembangunan infrastruktur ke arah menjadikan Johor sebuah negeri yang maju, progresif dan berdaya saing.






Pelawat Hari Ini : 380
Pelawat Bulan Ini : 12663
Jumlah Pelawat : 515467