Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Tahun 2024

Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) telah menganjurkan program tahunan iaitu Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia Tahun 2024 dengan penuh gilang gemilang pada 23 Julai 2024 bertempat di Dewan CREaTE, Alor Gajah, Melaka. Penganjuran program ini bertujuan untuk membudayakan inovasi di dalam kalangan warga JKR, dan seterusnya memberi penghargaan kepada peserta yang berjaya menghasilkan inovasi yang memberi impak kepada rakyat dan negara amnya, serta jabatan khususnya.

Bertemakan “Inovasi Pemangkin Generasi Kreatif”, Konvensyen KIK JKR pada tahun ini merupakan tahun paling tertinggi melibatkan 479 orang peserta daripada 54 kumpulan dari pelbagai Cawangan Ibu Pejabat JKR, JKR Negeri dan JKR Daerah. Kesemua kumpulan telah membentangkan inovasi masing-masing secara fizikal di hadapan panel penilai pada 2hb hingga 11hb Julai 2024. 35 kumpulan telah menampilkan inovasi di bawah Kategori Teknikal, manakala 19 kumpulan telah mempertaruhkan inovasi di bawah Kategori Pengurusan.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah pemenang Konvensyen KIK JKR Malaysia Tahun 2023 telah disempurnakan oleh YB. Datuk Seri Haji Ahmad bin Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya. Turut hadir bersama pada majlis tersebut adalah YBhg. Dato’ Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Ir. Hj. Ibrahim bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan (Menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Infra),
YBrs. Ir. Zulkifli bin Abdul Rashad, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (Menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Pakar), YBhg. Datuk Sr Amran bin Hj. Mohd Majid, dan Pengarah Kanan CREaTE, YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman.

Sebanyak 7 kategori telah dipertandingkan iaitu:

  1. Inovasi (Kategori Teknikal);
  2. Inovasi (Kategori Pengurusan);
  3. Poster Terbaik (Kategori Teknikal);
  4. Poster Terbaik (Kategori Pengurusan);
  5. Video Boomerang Terbaik (Kategori Teknikal);
  6. Video Boomerang Terbaik (Kategori Pengurusan); dan
  7. Anugerah Penyertaan Terbanyak

Johan Inovasi bagi kategori teknikal dan pengurusan akan menerima wang tunai berjumlah RM5,000.00, trofi, mockup cheque edisi khas, dan sijil penganugerahan. Naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM3,000.00 dan RM2,000.00, mockup cheque edisi khas, serta sijil penganugerahan. Manakala, pemenang bagi kategori lain menerima sijil penganugerahan.

Semoga dengan kejayaan ini membuktikan bahawa JKR Johor adalah salah satu Jabatan yang berinovasi dalam bidang teknikal di peringkat JKR Malaysia.

Terima Kasih diucapkan kepada Pengurusan Korporat, CPAB sebagai PENYELARAS Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) wakil Jabatan Kerja Raya Negeri Johor.

KATEGORI NAMA KUMPULAN PEJABAT KEPUTUSAN
INOVASI (KATEGORI TEKNIKAL) Permata Maharani JKR (D) Muar NAIB JUARA
INOVASI (KATEGORI PENGURUSAN) Jarkinova Bahagian Arkitek JUARA
INOVASI (KATEGORI TEKNIKAL) E-Smart Cawangan Kejuruteraan Elektrik, JKR Johor TEMPAT KETIGA