Kunjungan Hormat Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) kepada YAB Dato’ Menteri Besar Johor.

Jumaat |24 Oktober 2025 – YBhg. Dato’ Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) telah berkunjung hormat ke pejabat YAB Dato’ Menteri Besar Johor. Pertemuan ini turut dihadiri oleh Pengarah JKR Johor serta pegawai yang memangku tugas Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK).

Dalam perbincangan tersebut, YBhg. Dato’ telah memaklumkan mengenai penganjuran Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 yang akan berlangsung di Negeri Johor. Pertemuan ini turut menjadi platform bagi membincangkan peluang kerjasama dan bentuk sokongan daripada Kerajaan Negeri bagi memastikan penganjuran berjalan dengan jayanya.

Pemilihan Johor sebagai tuan rumah peringkat kebangsaan melambangkan kepercayaan terhadap keupayaan negeri ini dalam menerajui pembangunan teknikal dan infrastruktur negara. Penganjuran di Johor juga dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelbagai pihak – termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan dan pemain industri – untuk berganding bahu memperkukuh ekosistem teknikal tempatan.

YBhg. Dato’ turut menzahirkan harapan agar Kerajaan Negeri Johor dapat memberikan sokongan padu terhadap pelaksanaan program ini. Dukungan tersebut mencerminkan komitmen Johor terhadap kemajuan komuniti profesional teknikal serta diharap dapat memberi inspirasi kepada generasi muda dalam bidang berkenaan.

Penganjuran HPTN 2025 dijangka membawa impak positif kepada negeri dengan menonjolkan potensi industri teknikal Johor, memperkukuh jaringan strategik antara agensi dan institusi, serta mempererat hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Madani berteraskan ilmu dan teknologi.