9 APRIL 2026 | KHAMIS
Jabatan Kerja Raya Johor (JKR Johor) telah menerima kunjungan Pasukan Panel Penilai sempena Anugerah Inovasi Pengurusan JKR Negeri Terbaik Tahun 2026 dalam satu sesi penilaian yang berlangsung di pejabat JKR Johor.
Lawatan tersebut diketuai oleh Puan Ir. Norzahamawatty binti Md. Desa daripada Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat, Ibu Pejabat JKR Malaysia. Kunjungan ini diadakan susulan kejayaan JKR Johor yang telah disenaraikan dalam kelompok lima (5) terbaik keseluruhan bagi anugerah berprestij berkenaan.
Dalam sesi tersebut, pihak pengurusan JKR Johor telah menyampaikan taklimat menyeluruh berkaitan inisiatif, pelaksanaan serta pencapaian organisasi sepanjang penyertaan dalam anugerah tersebut. Panel penilai turut dibawa meninjau persekitaran kerja serta meneliti dokumen sokongan sebagai sebahagian daripada proses penilaian yang komprehensif dan sistematik.
Selain itu, pihak pengurusan JKR Johor turut mengatur lawatan ke beberapa lokasi strategik termasuk Workshop, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Pusat Latihan di Unit Pengurusan Perolehan & Aset serta lawatan ke Bangunan Sultan Iskandar bagi memberikan gambaran menyeluruh terhadap keupayaan operasi dan pengurusan fasiliti jabatan.
Lawatan ini bukan sahaja berperanan sebagai medium penilaian, malah turut menjadi platform perkongsian pandangan serta amalan terbaik ke arah memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, inovatif dan berkualiti.
JKR Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh panel penilai atas kesudian meluangkan masa bagi menjayakan sesi penilaian ini. Diharapkan usaha ini akan terus menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan organisasi pada masa hadapan.
#jkrjohor #MajuJohor #MalaysiaMadani #JasaKepadaRakyat #iamJKR

















Pelawat Hari Ini : 445
Pelawat Bulan Ini : 14962
Jumlah Pelawat : 483292