Majlis Penyerahan Tiga Projek Fasiliti Kesihatan di Negeri Johor
JOHOR BAHRU, Johor – 18 Jun 2023 (Ahad), Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia selaku agensi teknikal utama negara di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menyerahkan tiga (3) projek fasiliti kesihatan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini iaitu :
- Projek Menyiapkan Baki Kerja Bagi Pembinaan Bangunan Baru Makmal Patologi, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor
- Projek Menyiapkan Baki Kerja Bagi Klinik Kesihatan (Jenis 3) Dengan Kuarters Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru, Johor; dan
- Projek Klinik Kesihatan (Jenis 5) Dengan Kuarters 16G, Felda Palong Timur, Segamat, Johor.
Majlis penyerahan projek tersebut telah dihadiri oleh Yang Berusaha Ir. Haji Badioezaman bin Ab. Khalik, yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) serta Yang Berhormat Dr. Zaliha Binti Mustafa, Menteri Kesihatan Malaysia. Majlis tersebut turut dihadiri oleh YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Ahli Parlimen Iskandar Puteri, YB Tuan Ling Tian Soon, EXCO Kesihatan negeri Johor, YBhg. Dato’ Sri Norazman bin Ayob, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, dan YBrs, Ir. Abu Bakar bin Abd. Aziz, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Johor.
Mewakili Ketua Pengarah Kerja Raya, YBrs. Ir. Haji Badioezaman bin Ab. Khalik di dalam ucapannya telah menzahirkan ucapan terima kasih beliau kepada Kementerian Kesihatan Malaysia di atas kepercayaan kepada JKR Malaysia untuk melaksanakan projek-projek fasiliti kesihatan untuk manfaat dan kesejahteraan masyarakat di negeri Johor khususnya dan orang awam amnya. Beliau kemudian telah menyerahkan replika kunci kepada Menteri Kesihatan sebagai simbolik penyerahan ketiga-tiga projek tersebut.
Pelbagai cabaran telah ditempuhi di dalam pembinaan setiap projek yang telah diserahkan pada hari ini. Namun, setiap cabaran dan dugaan yang ditempuhi bukanlah menjadi batu penghalang buat semua yang terlibat, malah ianya menjadi pendorong utama dalam memastikan penyampaian perkhidmatan berkualiti, demi kesejahteraan rakyat.
Dengan penyiapan fasiliti-fasiliti kesihatan baharu, ianya merupakan lambang dedikasi dan tanggungjawab utuh JKR Malaysia terhadap pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur negara. Selaku agensi teknikal utama, JKR komited dalam memikul amanah untuk memenuhi aspirasi kerajaan agar setiap projek yang dilaksana disiapkan dengan optimum dan tepat pada masa sepertimana yang telah dijanjikan.