jkrbsi

MESYUARAT JAWATANKUASA KHAS BAGI MENANGANI KESESAKAN DI TAMBAK JOHOR

11 Oktober 2023, Rabu – Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 2 Tahun 2023 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof secara atas talian di BSI.

Turut hadir bersama adalah Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi dan Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha, Ketua-Ketua Jabatan yang terdiri daripada Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi yang beroperasi di BSI dan KSAB.

Hasil mesyuarat, 4 inisiatif baharu di Fasa 3 akan dilaksanakan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM168.7 juta merangkumi 3 projek fizikal dan pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen pelbagai gred yang bertugas di pintu masuk dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.93 juta setahun kepada anggota yang terlibat.

Empat inisiatif baharu di Fasa 3 adalah seperti berikut:

  1. Tambahan 77 MBIKE dengan kos keseluruhan sebanyak RM61.7 juta merangkumi 44 MBIKE di BSI dan 33 MBIKE di KSAB. Tambahan bilangan MBIKE ini adalah sebagai langkah ke hadapan bagi mengimbangi peningkatan pengguna motosikal.
  2. Penggabungan dewan, naik taraf dan pembinaan projek baharu di KSAB yang berjumlah RM106.9 juta.
  3. Pembinaan pejalan kaki berbumbung di sepanjang Tambak Johor dengan anggaran kos yang akan diperincikan kemudian.
  4. Pemberian insentif pintu masuk kepada pegawai Imigresen pelbagai gred yang bertugas di pintu masuk di BSI, KSAB, KLIA1 dan KLIA2 dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.9 juta setahun.