Lawatan Tapak Dan Peluncuran Projek Naiktaraf Struktur Jambatan Besi Bypass FT003, Kota Tinggi
Jumaat | 21 November 2025 – Satu lawatan tapak telah dijalankan oleh TKPKR Sektor Infra, Tuan Ir. Mohd Shahrom Ahmad Saman untuk meninjau peluncuran projek kerja naiktaraf jambatan besi di Kota Tinggi, yang kini menjadi antara struktur terpanjang seumpamanya di negara ini. Komponen utama struktur dibina di tapak, diangkut sejauh 1.1 km menggunakan SPMT, dan diposisikan melalui kaedah skidding, memerlukan koordinasi rapi dan pematuhan teknikal yang tinggi.
Struktur tersebut direka untuk menyediakan navigational clearance yang lebih baik ketika air pasang, sekaligus meningkatkan keselamatan bot dan mengurangkan potensi gangguan kepada pengguna laluan air. Penilaian ini selaras dengan objektif JKR untuk memastikan setiap projek strategik memberikan impak langsung kepada rakyat melalui kejuruteraan yang berkesan.
Lawatan turut menekankan kebanggaan JKR terhadap kejayaan reka bentuk in-house. Kehadiran para pereka di tapak memberi peluang untuk menyaksikan hasil kerja mereka direalisasikan, sekaligus mengukuhkan keyakinan terhadap keupayaan teknikal dalaman JKR dalam menghasilkan penyelesaian bertaraf global.
JKR mengesyorkan pasukan projek dan kontraktor terus mengekalkan disiplin pelaksanaan serta mengoptimumkan jadual bagi menyempurnakan projek lebih awal, agar manfaatnya dapat disalurkan kepada rakyat dengan segera. Budaya profesional dan kerjasama kukuh dalam pasukan merupakan pemacu utama dalam mengangkat kredibiliti JKR ke tahap yang lebih tinggi.







Pelawat Hari Ini : 527
Pelawat Bulan Ini : 7452
Jumlah Pelawat : 492444
