MAJLIS APRESIASI KECEMERLANGAN & SANJUNGAN BUDI JABATAN KERJA RAYA NEGERI JOHOR 2026
Johor Bahru, 14 Julai 2026 – Jabatan Kerja Raya Negeri Johor telah mengadakan Majlis Apresiasi Kecemerlangan & Sanjungan Budi 2026 sebagai satu manifestasi penghargaan terhadap warga kerja yang telah menunjukkan prestasi cemerlang serta memberikan khidmat bakti yang bermakna kepada jabatan. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Haji Zainal Bin Tumian, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Johor.
Penganjuran majlis ini bertujuan untuk menghargai komitmen, dedikasi dan sumbangan pegawai serta kakitangan yang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, di samping meraikan bakal pesara yang telah mencurahkan khidmat bakti kepada organisasi sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Pada majlis berkenaan, seramai 86 orang pegawai dan kakitangan telah menerima penghargaan atas pencapaian cemerlang dan komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas dengan penuh profesionalisme. Selain itu, seramai 57 orang bakal pesara turut diraikan sebagai tanda penghormatan dan penghargaan terhadap jasa serta sumbangan mereka dalam memacu kecemerlangan Jabatan Kerja Raya Negeri Johor.
Dalam ucapan perasmiannya, YBrs. Ir. Haji Zainal Bin Tumian menzahirkan ucapan tahniah kepada semua penerima penghargaan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada bakal pesara atas segala jasa, pengorbanan dan komitmen yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan. Beliau menegaskan bahawa setiap sumbangan yang diberikan merupakan aset penting dalam memperkukuh keupayaan organisasi serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau turut berharap agar pengiktirafan yang diberikan menjadi pemangkin kepada seluruh warga JKR Johor untuk terus membudayakan kecemerlangan, memperkukuh nilai integriti, profesionalisme dan semangat kerja berpasukan dalam merealisasikan aspirasi jabatan ke arah penyampaian perkhidmatan awam yang lebih berkualiti, cekap dan berkesan.
Majlis Apresiasi Kecemerlangan & Sanjungan Budi bukan sekadar medan penyampaian penghargaan, malah menjadi simbol penghormatan terhadap jasa dan pengorbanan warga JKR Johor yang telah bersama-sama menyumbang kepada kecemerlangan organisasi. Semoga segala usaha dan dedikasi yang dicurahkan akan terus menjadi inspirasi kepada seluruh warga kerja untuk melaksanakan amanah dengan penuh iltizam demi kemajuan negeri Johor dan kesejahteraan rakyat.
Sorotan gambar sepanjang majlis boleh klik link di sini Google Drive dan Fotoshare











