Majlis Penyerahan Projek Naiktaraf Jalan Kempas, Johor

Selasa | 28 Oktober 2025 – Majlis Penyerahan Projek telah diadakan bagi Projek Menyiapkan Baki Kerja Bagi Menaiktaraf Jalan dari Taman Kempas Utama ke Kampung Maju Jaya sepanjang 2.2 kilometer yang telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

Projek ini melibatkan kerja menaiktaraf jalan utama daripada dua (2) lorong dua (2) hala kepada empat (4) lorong dua (2) hala bagi meningkatkan kapasiti trafik serta tahap keselamatan pengguna. Penyiapan projek ini pada 22 Ogos 2025 menandakan kejayaan pelaksanaan salah satu inisiatif infrastruktur penting di kawasan berkenaan.

Majlis Penyerahan Projek Naiktaraf Jalan Kempas telah disempurnakan oleh YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor. Diikuti dengan upacara menandatangani dokumen penyerahan projek antara Pengarah Kerja Raya Johor, Ir. Zainal bin Tumian selaku Pegawai Penguasa Projek (PP); Jurutera Daerah JKR Johor Bahru, Ir. Raja Fairol Farouk bin Raja Abd Assiss selaku Wakil Pegawai Penguasa (WPP); serta wakil rasmi Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan), Dr. Amirul Haffiz bin Arif, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor.

Projek dengan kos keseluruhan melebihi RM41 juta ini dilaksanakan oleh kontraktor Muara Atur (M) Sdn. Bhd., dengan penglibatan Jurutera Perunding FA Consult, pegawai-pegawai kanan JKR serta semua pihak berkepentingan. Penyiapan projek ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk meningkatkan kelancaran trafik, keselamatan jalan raya dan kesejahteraan pengguna. Diharapkan projek ini memberi impak positif kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya secara keseluruhan.

JKR Johor merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual serta menepati spesifikasi yang ditetapkan.

#JKRJohor
#InfrastrukturJohor
#JohorBerdayaMaju
#JalanKempas
#KerajaanJohor