MAJLIS PENYERAHAN PROJEK PEMBINAAN TABIKA KEMAS DI JALAN CENGAL 13, BANDAR PUTRA, KULAI, JOHOR
Rabu | 19 November 2025 – Majlis penyerahan bagi Projek Pembinaan Tabika KEMAS di Jalan Cengal 13, Bandar Putra, Kulai berlangsung sebagai penanda siapnya sebuah kemudahan pendidikan awal yang lengkap dan selesa untuk masyarakat setempat. Majlis ini turut menjadi simbol kejayaan usaha bersepadu antara agensi kerajaan dalam memastikan penyediaan prasarana pendidikan yang lebih berkualiti dan mudah diakses oleh penduduk di kawasan berkenaan.
Projek ini melibatkan pembinaan sebuah bangunan tabika serba baharu yang mampu menampung 30 murid, lengkap dengan ruang pembelajaran, kemudahan sokongan serta infrastruktur asas bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif. Disiapkan sepenuhnya pada 15 Oktober 2025, projek ini merupakan salah satu inisiatif penting bagi memenuhi permintaan tinggi terhadap kemudahan pendidikan awal kanak-kanak di kawasan Bandar Putra, sekali gus menyokong perkembangan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Tuan Fizwan Bin Dato’ Haji Rashidi, Pegawai Daerah Kulai, sebelum diteruskan dengan sesi menandatangani dokumen penyerahan projek. Penyerahan rasmi dibuat antara Pegawai Penguasa Projek yang juga Jurutera Daerah Kulai, YBrs. Ir. Ts. Muhamad Azrulanuar Bin Zakaria dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan dan Pengurusan KEMAS, YBrs. Encik Ayub Bin Abdul Rahman. Acara ini turut disertai pegawai-pegawai teknikal, wakil KEMAS serta pihak kontraktor sebagai tanda komitmen bersama terhadap kejayaan projek.
Projek yang dilaksanakan oleh kontraktor Pilatus Enterprise di bawah seliaan JKR Daerah Kulai ini diharapkan dapat memberi impak positif yang berpanjangan kepada komuniti sekitar, khususnya dalam menyediakan ruang pendidikan awal yang lebih berkualiti. JKR Daerah Kulai merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama, dedikasi dan komitmen tinggi dalam memastikan projek ini mencapai standard spesifikasi yang ditetapkan serta disiapkan mengikut jadual.
#Jkrjohor












Pelawat Hari Ini : 509
Pelawat Bulan Ini : 7434
Jumlah Pelawat : 492426
