MAJLIS PENYERAHAN PROJEK PEMBINAAN HOSPITAL PASIR GUDANG

29 Jun 2025 | Johor Bahru – Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Hospital Pasir Gudang disempurnakan oleh YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya kepada YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia.

Turut hadir untuk menyempurnakan majlis ini ialah YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli bin Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor; YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor; serta Tuan Ir. Zainal bin Tumian, Pengarah Kerja Raya Negeri Johor.

Projek bernilai RM375.5 juta ini dibina menggunakan kaedah Reka dan Bina dengan pendekatan ESG (Environment, Social and Governance) yang menitikberatkan kelestarian, mesra alam dan berdaya tahan. Hospital Pasir Gudang ini akan mula beroperasi secara berperingkat pada 1 Ogos 2025 dengan membuka 30% perkhidmatan utama seperti Jabatan Kecemasan, Obstetrik & Ginekologi serta Pediatrik.

Pembangunan hospital ini dijangka mampu mengurangkan kesesakan di Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail, mempercepat akses rawatan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan untuk penduduk sekitar Pasir Gudang dan kawasan berdekatan.