SAMBUTAN HPTN 2025 “MENGORAK INOVASI MASA DEPAN DEMI KEMANUSIAAN”
Rabu | 10 Disember 2025 – Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2025 bertemakan “Mengorak Inovasi Masa Depan Demi Kemanusiaan” , telah dianjurkan selama dua hari di Persada Johor, International Convention Centre, Johor Bahru, susulan pemilihan Johor sebagai tuan rumah yang mencerminkan keyakinan Kerajaan Persekutuan terhadap kedudukan negeri ini sebagai hab ekonomi, industri dan teknikal yang berkembang pesat. Majlis turut dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Onn Hafiz Bin Ghazi, Menteri Besar Johor, diiringi Yang Berhormat Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, serta Dato’ Seri Dr. Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya.
Tujuan utama penganjuran HPTN adalah untuk meraikan sumbangan signifikan para profesional teknikal di seluruh negara sambil memperkukuh kesedaran awam mengenai kepentingan bidang profesion teknikal. Majlis ini juga berfungsi sebagai platform untuk menggalakkan generasi muda memilih profesion teknikal sebagai pilihan kerjaya yang strategik dan berpotensi tinggi. Pelbagai aktiviti interaktif, pameran pendidikan, dan tawaran kerjaya dibuka sepanjang acara berlangsung.
HPTN 2025 menghimpunkan sebanyak 128 reruai pameran melibatkan jabatan kerajaan, agensi teknikal, serta syarikat industri utama negara. Turut dianjurkan adalah program dan pertandingan STEM yang menekankan kemahiran robotik dan penerokaan asas daya cipta teknologi AI bagi merangsang minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi. Di samping itu, pelbagai acara awam seperti karnival kerjaya, pertandingan e-Sukan, program kesihatan dan derma darah, serta kaunter pengurangan saman trafik turut memeriahkan sambutan.
Pemilihan tema “Mengorak Inovasi Masa Depan Demi Kemanusiaan” mencerminkan sokongan terhadap agenda kerajaan dalam mengadaptasi perubahan teknologi global. Perkembangan pesat dalam kecerdasan buatan (AI), automasi dan inovasi digital menuntut pendekatan proaktif bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing dan mampan dalam jangka panjang.
Diharapkan dengan penganjuran HPTN 2025, kita dapat terus memperkukuhkan lagi pembangunan profesion teknikal di Malaysia dan menjadi pemangkin untuk golongan muda melibatkan diri dalam sektor yang penting kepada kemajuan negara ini.
#HPTN2025 #ProfesionTeknikal #KKR #JKR #LLM #CIDB #MalaysiaMadani










Pelawat Hari Ini : 510
Pelawat Bulan Ini : 7435
Jumlah Pelawat : 492427
