TAKLIMAT DAN LAWATAN KERJA YB TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA KE LOKASI TERJEJAS AKIBAT GEGARAN GEMPA BUMI DI SEGAMAT

8 September 2025 | Isnin – YB Datuk Seri Haji Ahmad Bin Haji Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya, telah mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi yang terjejas akibat gegaran gempa bumi di Segamat. Antara lokasi yang dilawati ialah bangunan kerjaan yang terjejas seperti Kuarters Polis Segamat, Hospital Segamat dan Kolej Komuniti Segamat.

Pembentangan laporan teknikal berkaitan kesan gegaran telah disampaikan oleh Jurutera Daerah Segamat, Ir. Muhamad Yusri Bin Zainal.

Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 15 bangunan kerajaan mengalami kerosakan kecil dengan anggaran kos baik pulih berjumlah RM550,000.00. Selain itu, sebanyak 62 buah rumah dan dua surau turut mencatatkan kerosakan kecil. Antara bangunan yang terkesan ialah Hospital Segamat, Klinik Kesihatan Bandar Putra, Kolej Komuniti Segamat, Pejabat Kadi Daerah, sekolah-sekolah serta kuarters kerajaan.

Kebanyakan kerosakan melibatkan retakan sedia ada yang bertambah akibat gegaran dengan impak yang kecil serta tidak menjejaskan integriti struktur. Semua bangunan berkenaan telah disahkan masih selamat digunakan.

Kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan melalui peruntukan kementerian berkaitan dengan sokongan teknikal daripada JKR. Bilik Gerakan Bencana JKR turut diaktifkan serta-merta sejak 24 Ogos bagi memastikan pemantauan rapi dijalankan secara berterusan.

Pada masa ini, JKR Segamat sedang memperincikan laporan dan cadangan kerja pembaikan di samping meneruskan pemantauan menyeluruh terhadap aset bangunan, jalan dan jambatan. JKR bersama agensi berkaitan akan memastikan setiap tindakan susulan dilaksanakan bagi menjamin keselamatan struktur serta kesejahteraan masyarakat.