LAWATAN PROJEK BUILDING INFORMATION MODELLING (BIM) DI JKR JOHOR

ksu_kkr

GELANG PATAH, 9 Januari 2026 – Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim telah berkenan mengadakan Lawatan Projek Building Information Modelling (BIM) ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor bagi meninjau perancangan pelaksanaan Makmal BIM yang akan diwujudkan di negeri Johor.

Lawatan berkenaan telah berlangsung pada Jumaat, 9 Januari 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Unit Perolehan & Pengurusan Aset, JKR Johor. Lawatan ini bertujuan untuk melihat secara dekat tahap kesiapsiagaan, perancangan serta hala tuju pelaksanaan Projek BIM sebagai salah satu inisiatif strategik ke arah pendigitalan dan pemodenan pengurusan projek pembinaan kerajaan.

Pelaksanaan Makmal BIM ini dijangka dapat memperkukuh penggunaan teknologi digital dalam pengurusan aset dan projek, selaras dengan aspirasi Kementerian Kerja Raya untuk meningkatkan kecekapan, ketelusan serta kualiti penyampaian perkhidmatan.

Sepanjang lawatan tersebut, YBhg. Dato’ Seri turut diiringi oleh Pengarah Kerja Raya Negeri Johor, YBrs. Tuan Ir. Zainal bin Tumian, bersama barisan pengurusan JKR Johor.