
MAJLIS PENYERAHAN PROJEK PEMBINAAN DEWAN SERBAGUNA TERBUKA BERBUMBUNG (DSTB) SEKOLAH NEGERI JOHOR
13 Oktober 2025 – Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Dewan Serbaguna Terbuka Berbumbung (DSTB) sekolah di negeri Johor telah berlangsung dengan lancar dan jayanya. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), sebagai simbolik penyerahan rasmi kemudahan infrastruktur baharu kepada pihak sekolah untuk dimanfaatkan oleh warga sekolah dan komuniti setempat.
Penyerahan projek ini melibatkan lima buah sekolah, iaitu SMK Taman Putri, Kulai; SMK Taman Damai Jaya, Johor Bahru; SMK Tun Fatimah Hashim, Pasir Gudang; SMK Lokman Hakim, Kota Tinggi; dan SK Pusat Air Tawar, Mersing. Dewan yang dibina akan menjadi ruang pelaksanaan aktiviti kokurikulum, acara rasmi sekolah serta pelbagai program kemasyarakatan yang memberi manfaat kepada pelajar dan masyarakat setempat.
Skop pelaksanaan projek ini meliputi kerja-kerja pembinaan struktur dewan serta penyediaan kemudahan asas seperti sistem pencahayaan, pengudaraan, keselamatan dan infrastruktur sokongan lain yang memenuhi piawaian ditetapkan. Pelaksanaan ini menggambarkan usaha berterusan JKR dalam menyediakan kemudahan pendidikan yang selamat, berkualiti dan kondusif.
Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan selaku Pengurus Program, YBrs. Tuan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Johor selaku Pegawai Penguasa, YBrs. Tuan Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan (Pembangunan), Kementerian Pendidikan Malaysia selaku wakil pelanggan, YBrs. Tuan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Jurutera-Jurutera Daerah, HOPT, pasukan projek, wakil pengguna serta wakil kontraktor.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan projek ini. Komitmen dan kerjasama yang ditunjukkan amat dihargai serta menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur pendidikan negara.
#IamJKR
#JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat




Pelawat Hari Ini : 548
Pelawat Bulan Ini : 15125
Jumlah Pelawat : 363555
